Tuesday, June 3, 2008




TAWAU 3 Jun - Ibubapa yang mempunyai Anak Kurang Upaya atau Anak Istimewa disaran supaya tidak ‘menyembunyikan’ anak-anak mereka, hanya disebabkan perasaan malu atau persepsi karut yang kononnya anak-anak tersebut akan membawa nasib malang.

Menteri Belia dan Sukan Negeri Peter Pang En Yin berkata, meskipun anak-anak berkenaan tidak sesempurna orang lain, namun mereka juga adalah kurniaan Tuhan kepada ibubapa yang wajar untuk dihargai dan diberikan kasih sayang.

“Syukurlah hari ini sikap ‘menyembunyikan’ anak-anak sebegini agak kurang lagi berlaku di kalangan masyarakat. Namun bagi mereka yang masih bersikap sedemikian, kita harap sikap itu dapat dikikis dari dalam diri,” katanya.

Tambahnya, hari ini pelbagai bantuan atau kemudahan disediakan oleh kerajaan untuk membantu Anak Kurang Upaya atau Anak Istimewa, seperti dari aspek pemberian pendidikan, kemahiran dan sebagainya.

Oleh yang demikian, beliau menyeru ibubapa agar memanfaatkan segala bantuan dan kemudahan yang disediakan itu, demi kebaikan dan masa hadapan anak-anak mereka.

Beliau berkata demikian di dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming, pada Majlis Pelancaran Sukan Special Olympics Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-6, di Kompleks Sukan Tawau di sini.

Sukan Special Olympics adalah satu penganjuran sukan khas untuk anak-anak atau orang kurang upaya intelek dan untuk kali ini, ia akan dianjurkan selama empat hari iaitu sehingga 6 Jun 2008.

Menyentuh program itu pula, Pang memuji usaha penganjuran sukan itu yang menurutnya merupakan satu pendekatan terbaik bagi memberi peluang dan ruang untuk atlit-atlit kurang upaya intelek berinteraksi di antara satu dengan yang lain.

Selain itu penganjuran sukan itu juga ujarnya akan turut memupuk sikap-sikap positif ke dalam diri para peserta yang terlibat, seperti semangat ingin berjuang, tidak mudah berputus asa dan bersungguh-sungguh melakukan sesuatu.

Seramai lebih 250 peserta dari lapan daerah akan terlibat pada pertandingan kali ini iaitu masing-masing pasukan dari Tawau, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Kuala Penyu, Beaufort, Kudat, Labuan dan Sandakan.

Hadir sama pada majlis pelancaran sukan itu kelmarin ialah Penaung Special Olympic Tawau merangkap Ahli Parlimen P.190 Tawau, Datuk Chua Soon Bui dan Pengerusi Special Olympics Tawau, Dr. Jiloris F. Dony.

No comments:

Post a Comment