Friday, April 25, 2008



TAWAU 25 april - Satu kemudahan sukan baru dikenali sebagai Taman Cabaran kini sedang dirangka untuk dibina di Kompleks Sukan Tawau dan kemudahan yang berbentuk sukan lasak itu, dijangka turut menjadi alternatif menangani gejala negatif di kalangan belia.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, cadangan mewujudkan Taman Cabaran itu tercetus apabila pemerhatian yang dibuat mendapati ramai generasi muda masa kini meminati aktiviti-aktiviti yang berbentuk sukan lasak.

Namun begitu jelasnya, apa yang mengecewakan ialah apabila sebahagian dari golongan tersebut didapati mula cenderung melakukan perkara-perkara tidak sihat seperti pergaduhan, terlibat dengan jenayah atau aktiviti-aktiviti negatif lain.

Antara punca dikenal-pasti yang menjadi penyebab perkara itu berlaku ujarnya ialah disebabkan kegagalan golongan muda berkenaan ‘melepaskan keinginan lasak’ mereka, ekoran ketiadaan kemudahan-kemudahan yang sesuai dengan jiwa mereka.

Menurut Pang, antara jenis sukan yang dicadang untuk dibina di dalam Taman Cabaran itu kelak ialah sukan skateboarding, paintball, rock climbing dan beberapa sukan lain yang dilihat bersesuaian dengan jiwa golongan muda hari ini.

Turut dicadang untuk diwujudkan di dalam Taman Cabaran itu ialah sebuah rumah kelab yang menempatkan kemudahan bermain komputer, pool, sukan dart dan sukan-sukan indoor.

“Saya sudah berbincang mengenai cadangan ini dengan beberapa pihak di peringkat Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Lembaga Sukan Negeri dan rakan-rakan wakil rakyat. Setakat ini, respons yang diterima amatlah positif,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap perkara itu dapat segera direalisasikan agar ia boleh menjadi satu pendekatan bagi membentuk semangat daya saing yang sihat serta ketahanan jiwa di kalangan generasi belia, khasnya yang berada di kawasannya.

Dalam pada itu, Pang dalam kenyataannya turut merayu kepada syarikat-syarikat korporat agar turut tampil bagi membantu menjayakan hasrat berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengadakan perbincangan dengan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Mahmood Kalong, berhubung cadangan itu di Kompleks Sukan Tawau.

Sementara itu, Mahmood ketika ditemubual pula menyatakan yang pihaknya amat mengalu-alukan cadangan itu dan bersedia menyediakan tapak untuk pembinaan Taman Cabaran tersebut di kawasan kompleks terbabit.

Ini kerana di kawasan tanah kompleks seluas 99.7 ekar itu katanya, terdapat 32 ekar tanah lagi yang masih belum digunakan.

Beliau memberitahu, di Kompleks Sukan Likas Kota Kinabalu pun katanya, sebuah Taman Cabaran ketika ini sedang dibina hasil pembiayaan badan-badan korporat melalui kerajaan.

Oleh itu ujarnya, beliau percaya usaha yang sama akan dapat turut dihasilkan di daerah ini dan tidak mustahil dapat diperluaskan ke tempat-tempat lain seperti Sandakan dan daerah-daerah lain, jika semua pihak tampil memberikan kerjasama.

Tuesday, April 8, 2008



TAWAU 8 april - Kepelbagaian budaya tradisi masyarakat berbilang kaum serta keindahan sumber alam semulajadi yang terdapat di Dun N.58 Merotai, merupakan potensi yang bakal diekploitasi untuk merubah wajah Dun itu menjadi sebuah pusat tarikan pelancong.

Ahli Dewan Undangan Negeri N.58 Merotai Pang Yuk Ming berkata, kini beliau sedang merangka beberapa pendekatan bagi merealisasikan hasrat berkenaan, agar potensi itu mampu pula membuka pelbagai sumber ekonomi untuk penduduk setempat.

Antara yang ingin dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun ini menggunakan potensi-potensi pelancongan terbabit jelasnya ialah seperti mewujudkan ‘Program Perambehan (Homestay)’ di kawasan itu serta ‘Program Satu Kampung Satu Produk’.

Sebagai contoh katanya, dengan adanya program perambehan, para pengunjung dari luar akan dapat merasai kehidupan sebagai masyarakat kampung, sambil mendalami budaya dan tradisi masyarakat terbabit.

Para pelancong terbabit juga katanya boleh dibawa ke tempat-tempat pelancongan di sekitar Dun Merotai dan daerah Tawau, dan kemudiannya mereka mungkin boleh mendapatkan cenderakenangan seperti kraftangan yang dibuat penduduk.

“Inilah antara perancangan kita kerana kawasan ini sebenarnya kaya dengan potensi-potensi pelancongan. Tetapi sebelum ini ramai yang tidak menyedarinya walaupun ia sebenarnya mampu memberi banyak faedah untuk para penduduk,” katanya.

Antara potensi yang dimaksudkannya katanya ialah seperti kekayaan makanan dan tarian tradisi masyarakat setempat, serta keindahan alam yang sedia wujud seperti air terjun Taman Bukit Tawau, Maliau Basin, Pokok Tropika Tertinggi Di Dunia dan Air Panas.

Malah katanya, makanan laut serta tanaman kelapa sawit dan koko juga, boleh turut dijadikan sebagai antara tarikan pelancong ke kawasan berkenaan.

“Saya juga telahpun berbincang perkara ini dengan beberapa rakan-rakan lain termasuk yang terlibat di dalam sektor pelancongan. Semuanya menunjukkan reaksi yang positif dan saya yakin perkara ini dapat dijadikan kenyataan,” katanya.

Pang yang sebelum ini berpengalaman selama lapan tahun sebagai Setiausaha Perhubungan di Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, menjelaskan hasratnya itu kepada New Sabah Times di sini.

Selain aspek pelancongan, Pang turut memberitahu yang beliau juga akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa perubahan kepada aspek pembangunan belia di kawasannya.

Untuk tujuan itu katanya, beliau telah bercadang untuk melaksanakan beberapa aktiviti yang mampu menarik minat golongan terbabit, seperti mewujudkan sebuah kawasan untuk sukan lasak seperti sukan pin ball, rock climbing, skateboarding dan sebagainya.

“Saya juga bercadang untuk membuka satu pejabat saya di kawasan Taman Semarak. Selain menjadi pejabat, tempat itu juga akan menjadi pusat gerakan belia dan kita akan turut mewujudkan sebuah pondok polis di kawasan itu,” katanya.

Namun demikian, Pang dalam kenyataannya menyeru seluruh masyarakat khasnya di kawasan terbabit agar terus memberi kerjasama kepadanya, serta peluang untuk beliau membuktikan keupayaannya.

Tanpa sokongan padu mereka kata beliau, sudah tentu apa juga yang dirancang tidak akan berhasil sekaligus hanya akan tinggal menjadi satu perancangan semata-mata.

“Saya harap segala perancangan ini dapat direalisasikan dan memberi faedah untuk semua penduduk.
Namun, berilah saya peluang dan sedikit masa untuk saya membuktikan keupayaan saya melaksanakan apa yang saya katakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan penghargaannya kepada semua pihak khasnya para pengundi di Dun Merotai, kerana telah memberinya sokongan padu pada pilihanraya lalu sehingga membolehkan beliau terpilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu