TAWAU 6 jun - Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hajiji Mohd Noor tentang perancangan kerajaan untuk memindahkan tapak pelupusan sampah di Bukit Gemok ke satu kawasan lain, disifatkan satu tindakan yang tepat sekali.
Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, perkara itu sememangnya amat dinanti-nantikan, apatah lagi apabila kawasan tapak pelupusan sampah yang sedia ada, terletak di jalan masuk menuju ke Taman Bukit Tawau.
“Kita amat gembira mendengar kenyataan itu. Kita berharap apabila tapak pelupusan itu dipindahkan ke tapak baru kelak, ia akan mendorong lebih ramai pelancong berkunjung ke Taman Bukit Tawau,” katanya.
Taman Bukit Tawau merupakan sebuah kawasan pelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi seperti air terjun dan Pokok Tropika Tertinggi Di Dunia.
Menurut kenyataan Hajiji ketika berkunjung ke Tawau baru-baru ini, Kerajaan Negeri akan memindahkan tapak pelupusan sampah yang sedia ada ke sebuah kawasan baru yang telah dikenal pasti dan kini, kajian alam sekitar sedang dijalankan bagi tujuan itu.
Pang berkata demikian ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu dalam hal berlainan, Pang memberitahu yang pihaknya kini sedang berusaha mengenal pasti dengan lebih jelas produk-produk pelancongan di kawasannya, yang berpotensi untuk dibangunkan bagi menarik kehadiran pelancongan.
Setelah mengenal pasti produk-produk terbabit ujarnya, beliau akan mengambil beberapa langkah dan pendekatan bagi memastikan hasrat membangunkan kawasan Dun Merotai sebagai sebuah kawasan pelancongan di negeri ini, dapat direalisasikan.
“Hasil pemerhatian dan kajian kita setakat ini, kita dapati Dun Merotai mempunyai pelbagai potensi pelancongan baik dari aspek keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya dan tradisi masyarakat berbilang kaum mahupun dari aspek-aspek lain,” katanya.
Berikutan itu jelasnya, beliau melahirkan keyakinannya yang sektor pelancongan mampu dibangunkan di kawasan terbabit dan dalam masa yang sama, ia akan dapat memberi pulangan yang lumayan kepada masyarakat setempat di kawasan itu.
Dalam hal berkaitan, beliau turut melahirkan penghargaannya di atas kerjasama yang dihulurkan oleh agensi-agensi kerajaan terlibat, sepanjang pihaknya menjalankan usaha-usaha mengenal pasti produk-produk pelancongan terbabit.
Friday, June 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment