Monday, June 16, 2008

TAWAU 16 jun - Sikap saling hormat-menghormati, bertolak ansur dan bekerjasama harus terus menjadi amalan masyarakat di zaman yang semakin mencabar ini serta dijadikan budaya di dalam kehidupan seharian.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, amalan murni itu tidak seharusnya dilupakan kerana ia adalah formula yang berjaya merubah Malaysia menjadi negara yang maju, meskipun rakyatnya berbilang kaum, budaya dan agama selama ini.

Budaya-budaya murni terbabit juga ujarnya, harus diperturunkan kepada generasi muda agar ia dapat diwarisi dan tidak lapuk ditelan zaman.

“Kita harus menyedari bahawa apa yang kita miliki hari ini tidak akan dapat dirasai jika suatu masa dahulu masyarakat kita berpecah-belah dan saling mementingkan diri. Perpaduan adalah kunci kejayaan yang kita semua harus pertahankan!,” katanya.

Jika masyarakat hari ini dan masa hadapan terus mengekalkan apa yang dimiliki tambahnya, negara sudah pasti berupaya untuk terus mencipta kegemilangan seterusnya masyhur di serta dunia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penyerahan Anak Angkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kg. Kijang Merotai, di sini.

Menyentuh program yang diadakan pula, beliau menyifatkan yang program itu sebagai satu platform yang mampu memberi pengalaman dan kemahiran baru untuk mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat.

Serunya, mereka yang terlibat di dalam program itu juga haruslah menjalin tali silaturahim serta menyelami kehidupan sebenar masyarakat kampung yang menjadi keluarga angkat mereka.

“Saya percaya melalui program ini mereka yang terlibat akan dapat bertukar-tukar fikiran tentang pelbagai perkara. Itu semua adalah ilmu yang boleh digunakan untuk mematangkan fikiran serta membuakan mereka lebih faham tentang kehidupan,” ujarnya.

Dalam hal yang sama, Pang pula meminta masyarakat kampung supaya melayan ‘anak-anak angkat’ mereka dengan baik dan membuktikan yang masyarakat di Dun Merotai adalah masyarakat yang kaya budi bahasa dan sopan santun.

Dengan demikian jelasnya, beliau yakin mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai program itu akan berasa gembira sepanjang berada di kampung berkenaan.

Lebih 30 ahli terbabit menyertai program berkenaan.

No comments:

Post a Comment