Friday, June 27, 2008

TAWAU 27 jun - Sebuah Pusat Pemuliharaan Gajah kini sedang dirangka untuk diwujudkan di kawasan Dun Merotai, sebagai antara usaha bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke kawasan itu selain menjadikannya ikon untuk daerah Tawau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, pada minggu lalu pihaknya telahpun berbincang dengan Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman-Taman Sabah mengenai perkara itu dan secara prinsipnya, cadangan itu telah dipersetujui.

“Ini adalah antara usaha kita untuk membangun serta memanfaatkan potensi pelancongan di kawasan Dun Merotai.
Jika di kawasan lain mereka mempunyai ikon pelancongannya tersendiri, saya percaya gajah boleh menjadi ikon untuk Merotai dan Tawau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu yang Pusat Pemuliharaan Gajah itu dicadang untuk dibina di kawasan Desa Subur, Merotai dan ianya akan diletakkan di bawah pentadbiran Borneo Conservation Trust.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya kepada New Sabah Times.

Dalam hal berkaitan, Pang memberitahu bahawa selain gajah, pihaknya juga telah mengenalpasti beberapa lagi potensi pelancongan lain di kawasan Parlimen Kalabakan yang boleh dimajukan dari aspek pelancongan.

Antara potensi itu katanya ialah kewujudan Monyet Belanda, Ikan Lumba-Lumba dan air terjun yang boleh dikomersilkan untuk tujuan itu.

Jika digabungkan potensi-potensi itu dengan perkara-perkara lain seperti keenakan makanan laut serta kekayaan tradisi budaya masyarakat yang terdapat di daerah ini, beliau katanya yakin yang Tawau bakal menjadi sebuah pusat pelancongan yang utama.

“Saya percaya masyarakat Tawau juga akan mendapat faedah kerana mereka boleh membangunkan ekonomi diri dan keluarga mereka jika daerah ini menjadi kawasan tumpuan pelancong,” kata beliau.

Bagaimanapun begitu, beliau berharap semua pihak khasnya yang berada di Dun Merotai dapat sama-sama bekerjasama, bagi memastikan hasrat tersebut dapat direalisasikan

No comments:

Post a Comment