TAWAU 26 Jun - Seluruh lapisan masyarakat disaran supaya bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan generasi muda negara hari ini tidak terjebak ke dalam kancah-kancah negatif khasnya gejala penyalahgunaan najis dadah.
Wakil Rakyat Merotai Pang Yuk Ming berkata, ini kerana berdasarkan rekod Anti Dadah Kebangsaan (ADK) bagi tempoh enam bulan pertama 2007, 70 % dari 14,489 penagih yang dikesan, adalah terdiri dari mereka yang berusia di antara 19 dan 24 tahun.
Senario itu katanya merupakan sesuatu yang amat membimbangkan, apatah lagi apabila pengaruh ganas dan kejam musuh nombor satu negara itu, tidak mengenal latar belakang agama, sosial, politik mahupun keturunan seseorang individu.
“Apa yang jelas, pengaruh najis dadah ini bukan sahaja menghancurkan kehidupan mereka yang terlibat dengannya, malah membawa kehancuran kepada keluarga individu tersebut serta boleh menjejaskan kesejahteraan dan kemajuan negara,” katanya.
Berikutan itu, beliau dengan tegas menggesa agar tanggungjawab memerangi najis dadah tidak hanya diletakkan di bahu kerajaan, sebaliknya dipikul bersama oleh seluruh lapisan masyarakat, termasuklah pihak ibubapa, guru-guru serta individu-individu perseorangan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah (Anti) Peringkat Gabungan Tawau, di SK Muhibbah Raya Tawau di sini.
Menyentuh program itu pula, Pang memuji penganjurannya dan menyifatkan ia sebagai satu platform awal bagi mendidik anak-anak yang masih di bangku sekolah tentang bahaya najis dadah.
Beliau turut melahirkan harapannya agar program seumpama itu dapat terus dianjurkan pada masa-masa akan datang, sekaligus diberi sokongan oleh semua pihak termasuklah oleh badan-badan korporat serta badan-badan bukan kerajaan.
Pelbagai acara dan pertandingan menarik dianjurkan di sepanjang berlangsungnya karnival tiga hari yang bermula 23 Jun lalu itu seperti Pertandingan Deklamasi Puisi, Ceramah Anti Dadah, Pertandingan Poster, Pertandingan Mengulas Buku dan Pameran.
Sementara itu, pada Pertandingan Boria yang menjadi acara kemuncak majlis penutupan karnival terbabit, Kumpulan Boria SK Pasir Putih telah berjaya menyandang gelaran Johan diikuti kumpulan dari SK Muhibbah Raya Tawau dan SK Simunul.
Pada majlis itu, Pang turut bermurah hati menyumbangkan wang bernilai RM 2,000, melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Muhibbah Raya, untuk kegunaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah yang dianjurkan sekolah berkenaan.
Cek itu disampaikan kepada Pengerusi PIBG-nya, Lakarani Lamadiangi.
Hadir sama pada majlis kelmarin ialah Pegawai Khas Anti Dadah, Pejabat Pelajaran Gabungan Tawau Rosidian Idris dan Guru Besar SK Muhibbah Raya, Tahir Sulung.
No comments:
Post a Comment