Thursday, June 26, 2008



TAWAU - 26 Jun Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan kerajaan untuk melancarkan operasi besar-besaran bagi menangkap dan menghalau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini, disambut baik pemimpin dan masyarakat Tawau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho ketika dihubungi menyifatkan yang usaha itu sebagai sesuatu yang sememangnya dinanti-nantikan memandangkan isu PATI telahpun berlarutan sejak sekian lama.

Bagaimanapun begitu, Muis menyarankan agar usaha menangkap PATI diseimbangkan dengan usaha mempertingkatkan lagi aspek-aspek kawalan di kawasan persempadanan negara, bagi membanteras pencerobohan rakyat asing ke negara ini.

Sebagai contoh katanya, kawalan keselamayan yang lebih mantap harus dilakukan di Pulau Sebatik Tawau, ekoran dari kedudukan pulau itu yang sebahagiannya berada di kawasan Malaysia sementara sebahagian lagi di bawah pentadbiran Kerajaan Indonesia.

Dalam perkara lain yang tidak kurang pentingnya, beliau juga menggesa agar operasi penangkapan yang bakal dijalankan tidak hanya memfokuskan PATI dari Indonesia dan Filipina, tetapi juga PATI-PATI dari negara-negara luar yang lain.

“Saya harap pemeriksaan itu kelak akan dilakukan secara menyeluruh.

Sebagai contoh, saya mendapat tahu bahawa ada juga PATI ini terdiri dari orang-orang Cina yang datang dari Tarakan, Indonesia.

Begitu juga rakyat Pakistan dan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pegawai dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) turut dilibatkan di dalam mana-mana Jawatankuasa Membanteras PATI, mahupun di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan usaha menangani kehadiran PATI.

Sementara itu, ADUN Merotai Pang Yuk Ming ketika ditemui pula turut melahirkan rasa setujunya dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu.

Namun katanya, semua pihak juga haruslah memberikan kerjasama padu ke atas usaha terbabit serta tidak meletakkan tanggungjawab itu ke bahu pihak kerajaan semata-mata.

“Tindakan membanteras PATI tentunya bukanlah sesuatu yang mudah kerana ada banyak perkara lain yang perlu difikirkan.
Ia bukan sekadar mengenai menangkap dan menghalau PATI. Justeru, semua pihak harus bekerjasama!,” katanya.

Mengenai kehadiran kanak-kanak tidak berstatus di negeri ini pula, Pang berharap permasalahan itu dapat diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan berlakunya lebih banyak masalah pada masa akan datang.

Jika tidak ada negara yang mahu menerima kanak-kanak berkenaan, Pang menyarankan agar jumlah kanak-kanak itu dikenalpasti terlebih dahulu dan mereka kemudiannya diberikan satu status, walaupun status sebagai ‘Individu Tidak Bernegara’.

Bagi Ketua Pemuda Umno Cawangan Jambatan Tengku Osman, Haji Mohd Ekbal Haji Mohd Khalid pula, keputusan kerajaan untuk mengadakan operasi besar-besaran itu amat dialu-alukan olehnya.

Namun jelasnya, pihak berkuasa hendaklah melakukan operasi itu dengan lebih agresif, berterusan serta berkesan, agar matlamat membanteras PATI dapat dicapai sepenuhnya.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa supaya mengawasi kawasan-kawasan yang menjadi pintu masuk PATI serta mempertingkatkan kawalan di kawasan persempadanan negara

No comments:

Post a Comment