TAWAU 15 mei - Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk melihat sebuah Taman Cabaran dibina di daerah ini, kelmarin melahirkan keyakinannya yang usaha itu bakal menepati jiwa golongan belia.
Ini kerana katanya, ramai di kalangan golongan itu dilihat begitu gemarkan aktiviti-aktiviti lasak, namun kekurangan fasiliti tersebut menjadikan keinginan golongan tersebut tidak dapat dipenuhi.
Berikutan itu ujarnya, baru-baru ini beliau berkesempatan melawat Taman Lasak yang dibina di Shah Alam, Selangor dan hasil lawatannya itu, beliau mendapati konsep taman lasak tersebut boleh dibawa ke negeri ini, khasnya ke Tawau.
“Saya kagum dengan konsep yang dibuat di Taman Lasak Shah Alam kerana walaupun ia baru beroperasi selama tiga bulan, tetapi saya difahamkan yang ia mendapat sambutan menggalakkan dari peminat sukan lasak dari seluruh negara”.
“Saya yakin dengan adanya kemudahan seumpama itu di Tawau, ia juga mampu menarik minat golongan belia sekaligus dapat membantu menjauhkan mereka dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat,” katanya.
Berikutan hal yang sama, Pang melahirkan harapannya agar semua pihak termasuk badan-badan korporat, agensi-agensi bukan kerajaan dan persatuan-persatuan terlibat, turut dapat bersama-sama berusaha merealisasikan hasrat pembinaan taman tersebut.
Antara kemudahan sukan lasak yang terdapat di Taman Lasak Shah Alam jelasnya ialah seperti kawasan bermain papan luncur, rock climbing, futsal, motorcross, sukan paintball dan beberapa kemudahan lain.
No comments:
Post a Comment