Monday, May 12, 2008

TAWAU 12 mei - Masyarakat dinasihatkan supaya tidak sesekali menyalah-gunakan kecanggihan sistem teknologi maklumat masa kini, apatah lagi apabila perkara yang dilakukan itu boleh mengganggu-gugat perpaduan rakyat dan kesejahteraan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, kemudahan canggih terbabit seharusnya dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan, seperti untuk menimba ilmu, mencari peluang memajukan diri atau perkara-perkara yang boleh mendatangkan faedah.

Berhubung perkara yang sama, masyarakat juga katanya haruslah bijak menapis segala maklumat yang diperolehi hasil dari kemudahan tersebut, bagi memastikan mereka tidak dipesongkan oleh fitnah atau dakyah-dakyah yang tidak berasas.

“Pelbagai fitnah atau perkara-perkara yang tidak sihat hari ini boleh dilihat disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melalui internet.

Kita harap masyarakat bijak menilai maklumat manakah yang harus mereka ambil dan ketahui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Komuniti Bestari Kg. Kijang Merotai, di sini.

Dalam pada itu, beliau juga berharap masyarakat dapat menggunakan kecanggihan sistem teknologi maklumat untuk mengukuhkan jati diri, memandangkan ia merupakan elemen yang menyumbang kepada kesejahteraan politik, sosial dan ekonomi sesebuah negara.

Menyentuh program tersebut pula, Pang memuji usaha Pejabat Penerangan Tawau kerana mewujudkan program Komuniti Bestari tersebut, yang menurut beliau mampu memberi memberi faedah kepada masyarakat di kawasan-kawasan yang terpilih.

Melalui program itu ujarnya, masyarakat di kampung terbabit bukan sahaja berpeluang mendapatkan maklumat-maklumat yang tepat, sekaligus dapat dibentuk menjadi sebuah komuniti yang berilmu dan berwawasan.

Dalam hal berlainan, Pang turut meminta masyarakat di kawasannya agar dapat memaklumkan kepada pihaknya ataupun agensi-agensi lain yang berkaitan, sekiranya terdapat jiran-jiran mereka yang kurang bernasib baik.

Perkara itu ujarnya penting agar bantuan yang sewajarnya dapat segera dihulurkan, khasnya kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Di majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa orang warga emas dan kurang bernasib baik.

Hadir sama pada program terbabit ialah Wakil Rakyat Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samad, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Tawau Daud Md. Noor dan para pemimpin akar umbi di sekitar Dun berkenaan.

No comments:

Post a Comment