Tuesday, May 6, 2008

TAWAU 6 mei - Jabatan Air digesa supaya bertindak tegas membanteras kegiatan mencuri air di kawasan-kawasan setinggan berikutan perbuatan itu disifatkan sebagai sesuatu yang tidak adil untuk para pengguna yang membayar bil air mereka pada setiap tiga bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri N.58 Merotai Pang Yuk Ming berkata, hukuman yang lebih berat haruslah dikenakan ke atas mereka yang melakukan perbuatan tersebut agar ia menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang ingin melakukan perkara yang sama.

Menurut Pang, perbuatan mencuri air bukan sahaja tidak adil untuk pengguna air yang berdaftar, tetapi dalam masa yang sama boleh menjadi penyebab berlakunya tekanan air rendah yang akhirnya akan menyusahkan semua pengguna kemudahan tersebut.

Justeru yang demikian, beliau menggesa agar penguatkuasaan Jabatan Air dapat lebih dipergiatkan bagi memastikan kegiatan mencuri air seperti melalui penyambungan paip secara haram, dapat dibanteras dan ditangani.

Namun yang demikian, beliau juga turut menyarankan agar polisi Jabatan Air yang menetapkan sesuatu bil tertunggak itu perlu diperjelaskan terlebih dahulu sebelum meter baru dipasang, dapat dikaji semula.

Ini kerana jelasnya, polisi itu boleh mengakibatkan penghuni baru seperti di rumah sewa yang berhadapan dengan masalah bekalan air, sukar untuk mendapatkan kemudahan asas itu secara sah kerana mereka dikehendaki menjelaskan bil-bil lama yang tertunggak.

Perkara itu disifatkannya sebagai sesuatu yang tidak adil serta boleh menjadi satu lagi penyebab berlakunya aktiviti penyambungan paip haram.

Dalam hal berkaitan, beliau juga meminta Jabatan Air agar segera mengambil tindakan mengatasi kes paip-paip bocor, bagi mengelakkan berlakunya pembaziran serta tekanan air rendah akibat dari kebocoran berkenaan.

Pang yang merupakan muka baru di Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata demikian dalam pembentangan usulnya pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Kota Kinabalu, kelmarin.

Teks ucapan Pang telah dihantar melalui email ke New Sabah Times Tawau.

Dalam pada itu, Pang dalam pembentangannya juga turut menyatakan yang beliau kini berhasrat untuk menjadikan kawasan Dun Merotai sebagai sebuah kawasan pelancongan utama di negeri ini, selain mewujudkan Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar di kawasan itu.

Mengenai pelancongan katanya, hasratnya itu timbul berikutan kawasan itu mempunyai pelbagai potensi pelancongan yang boleh dieksploitasi bagi menarik kehadiran pelancong, sekaligus mampu membantu membangunkan ekonomi masyarakat setempat.

Antara potensi tersebut katanya ialah seperti kepelbagaian kaum dan budaya di kalangan masyarakat Dun Merotai, serta kewujudan produk-produk pelancongan semulajadi seperti Pokok Tropika Tertinggi Di Dunia, Taman Bukit Tawau dan Kolam Air Panas.

Oleh yang demikian, beliau percaya program ‘Homestay’ dan ‘Satu Kampung Satu Produk’, merupakan antara program yang boleh diwujudkan di Dun terbabit, bagi menjana ekonomi penduduk di kawasannya itu.

Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar yang dicadangkannya pula ujarnya, diyakini bukan sahaja boleh menjadi satu lagi tarikan pelancong, tetapi juga akan dapat menyelamatkan spesis gajah terkecil di dunia iaitu gajah pygmy, yang hanya terdapat di rantau Borneo.

Berikutan cadangan yang diutarakannya, Pang semasa sidang dewan itu berharap agar semua pihak khasnya kementerian yang berkaitan dapat melakukan kajian sekaligus bertindak segera merealisasikan hasrat tersebut.

Antara perkara lain yang turut disentuh beliau ialah berhubung cadang mewujudkan Taman Cabaran di Kompleks Sukan Tawau, masalah belia dan isu kesesakan lalu-lintas dari bulatan lapangan terbang lama dan bulatan Jalan Kuhara menuju ke Jambatan Putih.

Beliau meminta agar semua perkara yang dibangkitkannya, diberi perhatian sekaligus tindakan drastik yang sewajarnya

No comments:

Post a Comment