TAWAU 25 april - Satu kemudahan sukan baru dikenali sebagai Taman Cabaran kini sedang dirangka untuk dibina di Kompleks Sukan Tawau dan kemudahan yang berbentuk sukan lasak itu, dijangka turut menjadi alternatif menangani gejala negatif di kalangan belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, cadangan mewujudkan Taman Cabaran itu tercetus apabila pemerhatian yang dibuat mendapati ramai generasi muda masa kini meminati aktiviti-aktiviti yang berbentuk sukan lasak.
Namun begitu jelasnya, apa yang mengecewakan ialah apabila sebahagian dari golongan tersebut didapati mula cenderung melakukan perkara-perkara tidak sihat seperti pergaduhan, terlibat dengan jenayah atau aktiviti-aktiviti negatif lain.
Antara punca dikenal-pasti yang menjadi penyebab perkara itu berlaku ujarnya ialah disebabkan kegagalan golongan muda berkenaan ‘melepaskan keinginan lasak’ mereka, ekoran ketiadaan kemudahan-kemudahan yang sesuai dengan jiwa mereka.
Menurut Pang, antara jenis sukan yang dicadang untuk dibina di dalam Taman Cabaran itu kelak ialah sukan skateboarding, paintball, rock climbing dan beberapa sukan lain yang dilihat bersesuaian dengan jiwa golongan muda hari ini.
Turut dicadang untuk diwujudkan di dalam Taman Cabaran itu ialah sebuah rumah kelab yang menempatkan kemudahan bermain komputer, pool, sukan dart dan sukan-sukan indoor.
“Saya sudah berbincang mengenai cadangan ini dengan beberapa pihak di peringkat Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Lembaga Sukan Negeri dan rakan-rakan wakil rakyat. Setakat ini, respons yang diterima amatlah positif,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap perkara itu dapat segera direalisasikan agar ia boleh menjadi satu pendekatan bagi membentuk semangat daya saing yang sihat serta ketahanan jiwa di kalangan generasi belia, khasnya yang berada di kawasannya.
Dalam pada itu, Pang dalam kenyataannya turut merayu kepada syarikat-syarikat korporat agar turut tampil bagi membantu menjayakan hasrat berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengadakan perbincangan dengan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Mahmood Kalong, berhubung cadangan itu di Kompleks Sukan Tawau.
Sementara itu, Mahmood ketika ditemubual pula menyatakan yang pihaknya amat mengalu-alukan cadangan itu dan bersedia menyediakan tapak untuk pembinaan Taman Cabaran tersebut di kawasan kompleks terbabit.
Ini kerana di kawasan tanah kompleks seluas 99.7 ekar itu katanya, terdapat 32 ekar tanah lagi yang masih belum digunakan.
Beliau memberitahu, di Kompleks Sukan Likas Kota Kinabalu pun katanya, sebuah Taman Cabaran ketika ini sedang dibina hasil pembiayaan badan-badan korporat melalui kerajaan.
Oleh itu ujarnya, beliau percaya usaha yang sama akan dapat turut dihasilkan di daerah ini dan tidak mustahil dapat diperluaskan ke tempat-tempat lain seperti Sandakan dan daerah-daerah lain, jika semua pihak tampil memberikan kerjasama.
No comments:
Post a Comment