Friday, March 7, 2008



TAWAU 7 mac - Tiga calon Barisan Nasional (BN) di Bahagian Kalabakan dan Ahli Parlimennya yang telahpun menang iaitu Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Salleh kelmarin, yakin Barisan Nasional (BN) akan beroleh kejayaan pada pilihan raya hari ini.

Menurut Ghapur, keyakinan itu timbul kerana rakyat adalah bijak untuk menilai parti manakah yang telah berjaya berkhidmat untuk masyarakat selama ini, berbanding parti pembangkang yang hanya tahu berjanji untuk mengaburi mata rakyat.

Kata beliau, meskipun ada yang menimbulkan isu ‘kerusi panas dan tidak panas’, namun beliau yakin yang kejayaan akan berpihak kepada calon-calon BN di Bahagian Kalabakan dan mereka akan diumumkan sebagai ‘pemenang’ pada malam ini.

Bagaimanapun begitu, beliau tetap mengambil kesempatan untuk mengingatkan masyarakat agar tidak sesekali cuba menggadai nasib mereka untuk lima tahun akan datang, pada hari pembuangan undi hari ini.

Jika mereka tersalah pangkah katanya, mereka sendiri juga yang akan merasa akibanya dan selaku Ahli Parlimen, beliau tidak akan bekerjasama dengan mana-mana wakil rakyat yang datang dari pembangkang, mahupun Bebas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Kg. Tanjung Batu dan Merotai Besar di sini malam kelmarin.

Sementara itu, calon BN Merotai Tanjung Batu Datuk Hamisah Samad pula ketika ditemui, berjanji akan ‘berkhidmat sepenuh hati’ untuk rakyat di kawasannya jika beliau diberi kepercayaan oleh rakyat.

“Berilah saya lima minit sahaja pada hari mengundi ini dan saya akan berkhidmat untuk anda selama lima tahun,” katanya.

Bagi calon BN Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho pula, beliau menyeru rakyat supaya turun untuk mengundi BN agar lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan mereka selepas ini.

Seperti yang pernah beliau katakan ujarnya, beliau ingin sekali berusaha untuk membantu masyarakat membangunkan taraf ekonomi mereka, melalui pelbagai perancangan yang telah dirangka olehnya.

“Jika saya tidak terpilih, saya rasa yang lebih malang ialah rakyat. Ini kerana mereka tentunya akan kerugian selama lima tahun dan terpaksa pula menunggu selepas tempoh itu bagi menggunakan semula hak mereka untuk mendapatkan pembangunan,” ujarnya.

Calon BN Merotai Pang Yuk Ming pula yakin rakyat Merotai akan menggunakan hak mereka dengan bijak.

Kelmarin iaitu sehari sebelum rakyat di seluruh negara mengundi pada hari ini, pelbagai spekulasi, andaian dan tekaan dibuat oleh masyarakat tentang siapa yang bakal menang dan siapa yang bakal tersingkir pada pilihan raya ini.

Bagaimanapun, segala-galanya akan terjawab sebaik sahaja jumlah undi di semua kawasan akan diumumkan pada malam ini.

No comments:

Post a Comment