Saturday, March 1, 2008



TAWAU 1 mac - Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Haji Salleh menasihatkan para pengundi di tiga kerusi Dun di kawasannya agar terus menyokong Barisan Nasional (BN) serta tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah pembangkang.

Katanya, ini kerana hanya BN yang mampu membawa pembangunan kepada masyarakat dan pihak pembangkang hanya tahu menabur janji-kosong bagi mengabui mata rakyat, sedangkan hakikatnya mereka tidak boleh berbuat apa-apa.

Bagaimanapun katanya, beliau yakin yang pengundi di Merotai, Tanjung Batu dan Sebatik bukanlah pengundi yang mudah diperkotak-katikkan oleh pembangkang, tetapi masyarakat yang bijak berfikir dan tahu menilai kebaikan Kerajaan BN.

Berikutan itu katanya, beliau berkeyakinan tinggi yang kesemua calon-calon BN di ketiga-tiga kawasan terbabit akan beroleh kejayaan besar pada pilihanraya akan datang, manakala pihak pembangkang pula akan kehilangan wang deposit mereka.

Beliau berkata demikian dalam semasa ditemui di Majlis Bersama Rakyat di Kg. Muhibbah Raya di sini, malam kelmarin.

Dalam pada itu, Ghapur juga menasihatkan pengundi supaya tidak bersikap kesukuan, sebaliknya terus memberi sokongan padu kepada calon-calon yang telah diletakkan di kawasan mereka oleh pucuk pimpinan BN.

Ini kerana ujarnya, pemilihan setiap calon-calon terbabit tentunya telahpun diteliti sebaiknya dan diyakini mampu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Hadir sama pada majlis itu ialah ketiga-tiga calon berkenaan iaitu Pang Yuk Ming (calon N.58 Merotai) Datuk Hamisah Samad (calon N.59 Tanjung Batu) dan Haji Muis Picho (calon N.60 Sebatik).

Lebih 300 masyarakat setempat menghadiri majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment