TAWAU 31 MAC - Dua kampung di kawasan Dun Merotai iaitu Kg. Langsat dan Kg. Kijang yang sering berhadapan dengan insiden banjir, bakal diberikan sebuah bot untuk tujuan kecemasan dari Wakil Rakyat kawasan tersebut, Pang Yuk Ming.
Bot berserta sebuah enjin 15 kuasa kuda itu, akan ditempatkan di Balai Polis Merotai untuk kegunaan penduduk kampung, sekiranya bencana banjir besar melanda mereka.
Pang ketika ditemui berkata, penduduk di kedua-dua kampung terbabit sememangnya sering dilanda banjir, terutamanya apabila hujan turun lebat di bahagian Ulu Sungai Merotai.
Pada Jumaat lepas ujarnya, lebih 15 buah rumah di kedua-dua kampung berkenaan telah dinaiki banjir setinggi lima kaki, sekaligus menimbulkan keresahan kepada penduduk.
“Setiap kali hujan lebat, mereka akan mula resah kerana takut dilanda banjir. Oleh itu, kita akan cuba menyelesaikan masalah ini di bawah Pelan Mitigasi Banjir, yang terkandung di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).”
“Bagaimanapun, untuk jangka masa pendek pula kita akan menyediakan sebuah bot untuk penduduk di kedua-dua kampung. Kita harap, kemudahan ini dapat membantu mereka pada saat-saat kecemasan,” katanya.
Dalam pada itu, Pang turut menasihatkan para penduduk supaya sentiasa berhati-hati dan tidak membiarkan anak-anak mereka bermain dengan air banjir, agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Sebagai pemimpin di kawasan itu ujarnya, beliau akan berusaha sebaiknya untuk membantu para penduduk menyelesaikan masalah banjir di kawasan mereka.
No comments:
Post a Comment