TAWAU 4 mac - Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah Daerah Tawau kelmarin berjanji akan menyokong penuh semua calon Barisan Nasional (BN) di Bahagaian Kalabakan, sebagai satu tanda penghargaan di atas pelbagai insentif dan bantuan yang diberi selama ini.
Ikrar mereka yang terkandung di dalam satu memorandum itu, telah diserahkan oleh Pengerusi Perhubungannya, Mohd. Asis Ali kepada Ketua Umno Kalabakan, Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Salleh di Pejabat Umno Kalabakan di sini.
Antara lain yang terkandung di dalam memorandum yang mewakili 400 ahli dewan perniagaan terbabit ialah mereka menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.
Ahli-ahli dewan itu juga menyatakan yang mereka akan menolak calon-calon pembangkang dan Bebas, yang menurut mereka hanya mahu mengambil kesempatan apabila tibanya musim pilihan raya.
Menurut Asis, pihaknya amat berterima kasih di atas pelbagai peluang yang disediakan kerajaan kepada golongan peniaga selama ini dan sokongan itu adalah untuk membalas budi baik dan jasa BN kepada rakyat, khasnya golongan peniaga.
Sementara itu, Ghapur yang juga Ahli Parlimen Kalabakan dalam kenyataannya pula memuji usaha dewan perniagaan berkenaan yang katanya, ikhlas dan tahu menghargai kebaikan kerajaan.
Beliau turut meminta rakyat sama-sama menolak calon-calon pembangkang dan Bebas, demi pembangunan yang diharap-harapkan.
Turut hadir pada majlis ringkas itu ialah Calon BN Dun Merotai, Pang Yuk Ming dan Calon BN Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho.
No comments:
Post a Comment