TAWAU 3 mac - Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Haji Salleh menegaskan yang beliau akan ‘merotan atau memulas telinga’ mana-mana wakil rakyat BN di kawasannya, jika didapati tidak bekerja setelah berjaya mendapat mandat rakyat.
Berikutan itu katanya, rakyat tidak perlu risau untuk memilih calon-calon BN yang diletakkan di kawasan mereka kerana beliau sendiri akan bertanggungjawab memastikan setiap di antara wakil rakyat terbabit, benar-benar akan berkhidmat untuk rakyat.
“Kalau anda semua beri sokongan padu pada calon-calon kita pada pilihan raya ini, saya jamin yang ketiga-tiga mereka akan bekerja untuk anda semua. Kalau mereka tidak kerja, buat aduan pada saya dan saya akan ambil tindakan,” katanya.
Bagaimanapun begitu ujarnya, beliau sendiri tentunya tidak akan dapat berbuat apa-apa jika rakyat memilih calon pembangkang atau Bebas, sebagai wakil rakyat mereka pada masa akan datang.
Ini kerana katanya, situasi itu tentunya tidak akan dapat mewujudkan kerjasama kukuh di antara wakil rakyat pembangkang dengan beliau sebagai Ahli Parlimen, sekaligus akan merugikan rakyat sendiri.
“Lagipun calon-calon pembangkang atau Bebas ini mana ada duit atau peruntukan kalau jadi wakil rakyat. Kalau ini berlaku, siapa yang rugi? Tentunya rakyat sendiri yang rugi,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan masyarakat Kg. Tanah Merah Tanjung Batu, malam kelmarin.
Dalam pada itu, Ghapur juga menasihatkan agar rakyat mengetepikan sebarang perselisihan pendapat agar ia tidak menjadi penghalang untuk mereka memberikan sokongan padu kepada calon-calon BN.
Mereka juga jelasnya, haruslah sentiasa menyedari bahawa segala nikmat kemajuan dan pembangunan yang terhidang di hadapan mereka hari ini adalah hasil dari keprihatinan serta kesungguhan kerajaan BN mentadbir negara dan negeri Sabah.
Terdahulu, Ghapur turut berkesempatan menghadiri pertemuan dengan masyarakat Tiong-Hua di Dewan Sin-San Pasir Putih.
Hadir sama ialah calon-calon BN bagi tiga kerusi Dun di Bahagian Kalabakan iaitu Pang Yuk Ming (N.58 Merotai), Datuk Hamisah Samad (N.59 Tanjung Batu) dan Hj. Abdul Muis Hj. Picho (N.60 Sebatik).
Monday, March 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment