+dan+Datuk+Ghapur+(tengah)+bersama+penyokong+mereka+bersorak+meraikan+kemenangan+mereka..JPG)
TAWAU 8 mac - Satu kerusi Dewan Undangan Negeri di Bahagian Tawau jatuh ke tangan pembangkang apabila calon Parti DAP bagi kerusi Dun N.57 Sri Tanjong, Jimmy Wong Sze Phin berjaya memungut sebanyak 5,359 undi pada hari pembuangan undi kelmarin.
Calon Barisan Nasional (BN) Samson Chin Chee Tsu yang sebelum ini menjadi wakil rakyat di kawasan itu, hanya mampu memungut 4,187 undi sementara seorang lagi calon, Kong Hong Min dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) memungut 3,090 undi.
Jimmy Wong ketika ditemui melahirkan penghargaannya kepada masyarakat dan menyatakan yang beliau akan bekerja dengan lebih kuat lagi untuk mereka selepas ini.
Kejayaan itu juga ujarnya menunjukkan yang rakyat sudah semakin sedar akan hak-hak mereka yang perlu diperjuangkan, sekaligus menjadi satu lagi lambang semangat demokrasi yang diinginkan rakyat di negara ini.
Jumlah kertas undi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kawasan Dun N.57 Sri Tanjong kelmarin ialah sebanyak 12,782 kertas undi.
146 daripadanya adalah undi yang ditolak SPR.
Pengumuman kejayaan Jimmy Wong itu dibuat di Dewan Masyakat Tawau, malam tadi.
Sementara itu, bagi tiga kerusi lain di Bahagian Tawau pula, kesemua calon BN yang diletakkan untuk dua kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen, berjaya menumpaskan lawan mereka.
Bagi kerusi P.190 Tawau, calon BN Datuk Chua Soon Bui meraih 13,943 undi, calon Parti DAP Chan Foong Hin mendapat 9,076 undi manakala calon Parti PKR Berhan @ Birhan Ruslam mendapat 3278 undi.
Calon BN Dun N.55 Balung Datuk Syed Abas Syed Ali pula berjaya mendapat 5,160 undi berbanding lawannya dari Parti PKR, Mohamad Abdillah Timbalas yang hanya merndapat 1423 undi.
Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang dipilih oleh BN untuk mengekalkan kedudukannya di Dun N.56 Apas pula, tidak menghampakan parti itu apabila meraih 5,409 undi berbanding lawannya, Vun Kon Pau (PKR) yang mendapat 1801 undi.
Seorang lagi lawan Tawfiq yang sebelum ini telah mengisytiharkan sokongannya kepada BN, Ardi Arsah, turut diberikan undi oleh masyarakat Apas, walaupun cuma hanya 77 undi.
Di Bahagian Kalabkan pula, muka baru N.58 Merotai yang diletakkan BN, Pang Yuk Ming berjaya memenangi kawasan itu apabila meraih 3723 undi, daripada 8777 kertas undi yang dikeluarkan SPR.
Calon lain-lain hanya mendapat, Soon Ten Fook (BEBAS Kelapa Sawit)- 3491 undi, Haji Mohd Abdillah (PAS)- 931 undi, Moktar Ahmad @ Utai (BEBAS Payung)- 289 undi dan Salman Nurillah (BEBAS Kunci)- 286 undi.
Calon BN kerusi Dun N.59 Tanjung Batu Datuk Hamisah Samad pula mendapat 5921 undi sekaligus menewaskan calon PKR Dullah Hashim (1499 undi) dan calon BEBAS, Mohd. Jeffry Rosman.
Sementara calon BN kerusi Dun N.60 Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho mendapat 4711 undi, calon PKR Arsad Jamal 880 undi dan calon BEBAS, Raden Kakung.
Keputusan itu secara tidak langsung meletakkan Haji Abdul Muis Haji Picho sebagai wakil rakyat baru di kawasan itu.
Ketiga-tiga mereka ketika ditemui, melahirkan rasa terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan pengundi kepada mereka.
Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Salleh, hadir sama ke Dewan Sri Tawau untuk meraikan kemenangan ketiga-tiga calon terbabit.