Monday, July 7, 2008





TAWAU 7 Julai - Sikap terlalu memilih pekerjaan serta tidak memiliki kemahiran teknikal yang memenuhi kehendak pasaran kerja semasa adalah antara punca yang dikenal-pasti menajdi penyebab berlakunya masalah pengangguran di kalangan belia di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, kedua-dua faktor terbabit juga secara tidak langsung mengakibatkan negara terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing, yang kini jumlahnya mencecah ratusan ribu orang.

Justeru katanya, golongan berkenaan haruslah membuang sikap memilih pekerjaan serta hendaklah menimba kemahiran teknikal khasnya di dalam bidang-bidang tertentu.

“Hari ini kestabilan dan kemantapan ekonomi negara telah mendorong ratusan ribu rakyat asing datang bekerja di negara kita. Mereka bekerja dan kemudiannya menghantar pulang wang yang banyak ke negara asal mereka.”

“Malangnya, rakyat kita sendiri masih berdepan dengan masalah pengangguran. Oleh itu, kita harus mula mengubah sikap dan hendaklah merebut pelbagai peluang pekerjaan yang terdapat di negara ini,” katanya.

Dengan berbuat demikian juga ujarnya, generasi terbabit bukan sahaja dapat menambah pendapatan dan memantapkan sumber ekonomi diri dan keluarga, malah sebenarnya turut memainkan peranan membantu kerajaan membangunkan negara.

Pang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Bersepadu Giat Mara Negeri Sabah bagi Zon 1 iaitu untuk Tawau dan Semporna, di Pusat Giat Mara di Taman Semarak di sini.

Dalam pada itu, Pang ketika berucap turut memuji usaha kerajaan menyediakan pusat-pusat kemahiran di negeri ini, seperti Pusat Giat Mara yang diwujudkan di setiap kawasan Parlimen.

Dengan syarat kemasukan yang minima iaitu sekadar pandai membaca, menulis dan mengira katanya, ia secara tidak langsung membuka peluang yang lebih luas kepada pelbagai lapisan rakyat untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan.

“Saya berharap masyarakat dapat merebut peluang-peluang yang ditawarkan ini. Bagaimanapun begitu, jangan pula mempersia-siakan kemahiran yang telah dimiliki. Gunakan ia demi manfaatnya yang sebenar,” kata beliau lagi.

Pada majlis itu, Pang turut berkesempatan menyaksikan persembahan tarian dan kebudayaan dari pelatih Pusat Giat Mara Zon 1, selain menyampaikan sijil kepada para pelatih yang telah berjaya menamatkan latihan mereka.

Hadir sama pada program itu ialah Pengurus Kanan Giat Mara Sabah, Asmuran Asnawi.

No comments:

Post a Comment