TAWAU 4 julai - Kerajaan dirayu agar dapat bertindak segera bagi membantu meringankan bebanan pemandu teksi di negeri ini, yang kini tersepit akibat dari kenaikan harga minyak yang berlaku, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming.
Katanya, kenaikan harga minyak dilihat begitu memberi kesan kepada kehidupan golongan itu, yang ketika ini masih menggunakan minyak petrol sebagai bahan api mereka berbanding pemandu teksi di Kuala Lumpur yang menggunakan gas asli (NGV).
Di daerah Tawau sahaja katanya, dianggarkan terdapat seramai 1,200 pemandu teksi yang memerlukan bantuan dan tindakan segera dari pihak kerajaan.
“Kita harap kerajaan dapat memberi bantuan sewajarnya seperti memberi mereka bantuan minyak petrol bersubsidi yang harganya lebih murah berbanding harga yang mereka terpaksa bayar ketika ini,” katanya.
Selain itu, beliau turut memberi saranan kepada pihak Petronas agar dapat mempercepatkan pembinaan stesen-stesen NGV di negeri ini demi manfaat sistem pengangkutan dan pengendali sistem terbabit.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 20 ahli jawatankuasa pemandu teksi dari tiga persatuan iaitu Persatuan Teksi Tawau, Persatuan Teksi Rumpun Melayu Tawau dan Persatuan Teksi Apas Balung, di sini.
Dalam hal berkaitan, Pang kelmarin juga turut mendengar luahan dan permasalahan yang dihadapi oleh para pemandu teksi di daerah ini.
Antara yang dikemukakan ahli-ahli persatuan-persatuan berkenaan kepadanya ialah mengenai isu berkaitan dengan no.plat baru untuk teksi, isu kewuudan kereta-kereta sapu dan isu pemandu hantu.
‘Pemandu hantu’ ditafsirkan sebagai teksi-teksi berpermit yang dipandu oleh warga asing dan ramai juga di antara mereka yang didakwa mempunyai lesen memandu, tetapi tidak mempunyai kad pengenalan.
Berkaitan perkara itu, Pang memberitahu yang beliau akan mengatur satu pertemuan di antara persatuan-persatuan tersebut dengan pihak Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Puspakom.
Pertemuan itu dijangka akan diatur dalam tempoh terdekat ini bagi membincangkan segala permasalahan yang timbul.
Selain mengambil tindakan terbabit, Pang turut berjanji yang beliau sendiri juga akan mengutus surat kepada pihak berkuasa berkaitan mengenai beberapa masalah yang diadukan kepadanya, pada pertemuan berkenaan.
Di pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu, Pengerusi Persatuan Teksi Tawau Ambrose Chong turut menyampaikan satu memorandum kepada Pang, yang berkaitan dengan permasalahan yang dihadapi oleh ahli-ahlinya.
No comments:
Post a Comment