Monday, July 14, 2008

TAWAU 14 julai - Keputusan kerajaan untuk memberi subsidi petrol kepada para pengusaha pengangkutan teksi dilihat sebagai satu khabar yang begitu menggembirakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, bantuan tersebut diyakini dapat meringankan bebanan yang ditanggung pengusaha teksi, ekoran dari kenaikan minyak yang berlaku beberapa bulan lalu.

"Kita amat berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan itu. Saya percaya, tiga persatuan teksi di Tawau ini juga sudah tentu akan menarik nafas lega kerana kemudahan itulah yang amat diharap-harapkan mereka," katanya.

Bagaimanapun begitu, Pang juga menggesa pengusaha terbabit supaya tidak pula menyalahgunakan subsidi yang diberi serta hendaklah mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Sharir Samad, yang menyatakan kerajaan akan memberi subsidi petrol kepada teksi yang menggunakan minyak petrol sebagai bahan api.

Sementara itu dalam satu isu berlainan, Pang juga merayu kerajaan supaya membantu penduduk di luar bandar yang kini masih bergantung kepada set generator bagi mendapatkan bekalan elektrik.

Ketika ini jelasnya, mereka membelanjakan sejumlah wang yang banyak pada setiap bulan, untuk memenuhi keperluan tersebut.

"Seorang penduduk di Kg. Sg. Udin memberitahu saya yang setiap hari rumahnya terpaksa menggunakan lima liter diesel bagi mendapatkan bekalan elektrik bermula jam 6.00 petang hingga 10.00 malam."

"Jika dikira, itu bermaksud beliau membelanjakan kira-kira RM 13 sehari atau RM 390 sebulan untuk mendapat kemudahan bekalan terbabit, yang hanya boleh dimanfaatkan selama empat jam setiap hari," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan terbabit atau mengambil sebarang langkah yang difikirkan wajar, berhubung perkara berkenaan

No comments:

Post a Comment