Friday, July 4, 2008



TAWAU 4 julai - Menteri Belia dan Sukan Negeri Peter Pang En Yin kelmarin menyeru syarikat atau badan-badan korporat agar turut sama memainkan peranan membantu pihak kerajaan bagi menaja, menjaga atau membangunkan prasarana-prasarana sukan di negeri ini.

Katanya, syarikat atau badan-badan berkenaan juga digalakkan untuk mengambil satu atau dua fasiliti sukan yang telah disediakan kerajaan, sebagai ‘anak angkat mereka’.

“Idea ini sebenarnya bukanlah satu perkara baru memandangkan beberapa syarikat korporat seperti Shell Malaysia telahpun mengambil Gym Kecergasan di Kota Kinabalu sebagai ‘anak angkat’mereka,” katanya.

Pang memberitahu yang beliau yakin usaha itu akan dapat membantu kerajaan menyediakan prasarana-prasarana yang memenuhi kehendak atau situasi semasa, selain membantu kerajaan melahirkan atlit-atlit sukan yang bermutu tinggi.

“Jika kita semua bekerjasama, saya yakin suatu hari nanti negeri kita akan mempunyai banyak prasarana sukan yang baik dan dalam masa yang sama, atlit-atlit kita juga akan menjadi atlit yang disegani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengadakan lawatan pertamanya sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah ke Kompleks Sukan Tawau, di sini kelmarin.

Pada sesi lawatan itu, beliau turut mendengar taklimat mengenai cadangan pembinaan Taman Cabaran Tawau dan Kelab Belia di kawasan Kompleks Sukan Tawau, yang diutarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming.

Pang berkata, secara prinsipnya beliau amat bersetuju dengan kedua-dua cadangan tersebut memandangkan kemudahan sukan terbabit dilihat berupaya memberi manfaat besar kepada golongan belia yang sukakan aktiviti-aktiviti lasak.

Antara kemudahan sukan yang dirangka untuk diwujudkan di Taman Cabaran itu kelak ialah sukan paint-ball, rock climbing, trek basikal BMX, kemudahan bermain papan luncur dan dewan futsal.

Sementara Kelab Belia yang ingin dibina pula dijangka bakal menempatkan menempatkan kemudahan sukan dalaman seperti permainan video games, catur, dart, internet, pool, selain turut berperanan sebagai Pusat Mencari Kerja dan Pusat Kaunseling.

“Saya berharap pembinaan ini dapat dilaksanakan dalam tahun ini. Bagaimanapun, kita juga memohon kepada pihak Jabatan Tanah dan Ukur agar dapat segera menentu-sahkan kawasan sebenar tanah yang digazetkan untuk Kompleks Sukan Tawau”, katanya.

Ini kerana katanya, pihaknya bercadang untuk memperuntukkan lima ekar tanah di kawasan itu bagi tujuan pelaksanaan projek terbabit.

Pada taklimat itu, ADUN Merotai Pang Yuk Ming menyatakan bahawa beliau dimaklumkan yang Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan telahpun bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM 1.8 juta bagi tujuan pembinaan prasarana berkenaan.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri Michael Emban, Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Mahmood Kalong, Pegawai Belia dan Sukan (N) Tawau Jamil Jilap dan Pengurus Kompleks Sukan Tawau Mohd. Firdaus Kassim.

No comments:

Post a Comment