Monday, July 14, 2008

TAWAU 14 julai - Keputusan kerajaan untuk memberi subsidi petrol kepada para pengusaha pengangkutan teksi dilihat sebagai satu khabar yang begitu menggembirakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, bantuan tersebut diyakini dapat meringankan bebanan yang ditanggung pengusaha teksi, ekoran dari kenaikan minyak yang berlaku beberapa bulan lalu.

"Kita amat berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan itu. Saya percaya, tiga persatuan teksi di Tawau ini juga sudah tentu akan menarik nafas lega kerana kemudahan itulah yang amat diharap-harapkan mereka," katanya.

Bagaimanapun begitu, Pang juga menggesa pengusaha terbabit supaya tidak pula menyalahgunakan subsidi yang diberi serta hendaklah mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Sharir Samad, yang menyatakan kerajaan akan memberi subsidi petrol kepada teksi yang menggunakan minyak petrol sebagai bahan api.

Sementara itu dalam satu isu berlainan, Pang juga merayu kerajaan supaya membantu penduduk di luar bandar yang kini masih bergantung kepada set generator bagi mendapatkan bekalan elektrik.

Ketika ini jelasnya, mereka membelanjakan sejumlah wang yang banyak pada setiap bulan, untuk memenuhi keperluan tersebut.

"Seorang penduduk di Kg. Sg. Udin memberitahu saya yang setiap hari rumahnya terpaksa menggunakan lima liter diesel bagi mendapatkan bekalan elektrik bermula jam 6.00 petang hingga 10.00 malam."

"Jika dikira, itu bermaksud beliau membelanjakan kira-kira RM 13 sehari atau RM 390 sebulan untuk mendapat kemudahan bekalan terbabit, yang hanya boleh dimanfaatkan selama empat jam setiap hari," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan terbabit atau mengambil sebarang langkah yang difikirkan wajar, berhubung perkara berkenaan
TAWAU 14 julai - Keputusan kerajaan untuk memberi subsidi petrol kepada para pengusaha pengangkutan teksi dilihat sebagai satu khabar yang begitu menggembirakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, bantuan tersebut diyakini dapat meringankan bebanan yang ditanggung pengusaha teksi, ekoran dari kenaikan minyak yang berlaku beberapa bulan lalu.

"Kita amat berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan itu. Saya percaya, tiga persatuan teksi di Tawau ini juga sudah tentu akan menarik nafas lega kerana kemudahan itulah yang amat diharap-harapkan mereka," katanya.

Bagaimanapun begitu, Pang juga menggesa pengusaha terbabit supaya tidak pula menyalahgunakan subsidi yang diberi serta hendaklah mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Sharir Samad, yang menyatakan kerajaan akan memberi subsidi petrol kepada teksi yang menggunakan minyak petrol sebagai bahan api.

Sementara itu dalam satu isu berlainan, Pang juga merayu kerajaan supaya membantu penduduk di luar bandar yang kini masih bergantung kepada set generator bagi mendapatkan bekalan elektrik.

Ketika ini jelasnya, mereka membelanjakan sejumlah wang yang banyak pada setiap bulan, untuk memenuhi keperluan tersebut.

"Seorang penduduk di Kg. Sg. Udin memberitahu saya yang setiap hari rumahnya terpaksa menggunakan lima liter diesel bagi mendapatkan bekalan elektrik bermula jam 6.00 petang hingga 10.00 malam."

"Jika dikira, itu bermaksud beliau membelanjakan kira-kira RM 13 sehari atau RM 390 sebulan untuk mendapat kemudahan bekalan terbabit, yang hanya boleh dimanfaatkan selama empat jam setiap hari," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan terbabit atau mengambil sebarang langkah yang difikirkan wajar, berhubung perkara berkenaan.

Monday, July 7, 2008





TAWAU 7 Julai - Sikap terlalu memilih pekerjaan serta tidak memiliki kemahiran teknikal yang memenuhi kehendak pasaran kerja semasa adalah antara punca yang dikenal-pasti menajdi penyebab berlakunya masalah pengangguran di kalangan belia di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, kedua-dua faktor terbabit juga secara tidak langsung mengakibatkan negara terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing, yang kini jumlahnya mencecah ratusan ribu orang.

Justeru katanya, golongan berkenaan haruslah membuang sikap memilih pekerjaan serta hendaklah menimba kemahiran teknikal khasnya di dalam bidang-bidang tertentu.

“Hari ini kestabilan dan kemantapan ekonomi negara telah mendorong ratusan ribu rakyat asing datang bekerja di negara kita. Mereka bekerja dan kemudiannya menghantar pulang wang yang banyak ke negara asal mereka.”

“Malangnya, rakyat kita sendiri masih berdepan dengan masalah pengangguran. Oleh itu, kita harus mula mengubah sikap dan hendaklah merebut pelbagai peluang pekerjaan yang terdapat di negara ini,” katanya.

Dengan berbuat demikian juga ujarnya, generasi terbabit bukan sahaja dapat menambah pendapatan dan memantapkan sumber ekonomi diri dan keluarga, malah sebenarnya turut memainkan peranan membantu kerajaan membangunkan negara.

Pang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Bersepadu Giat Mara Negeri Sabah bagi Zon 1 iaitu untuk Tawau dan Semporna, di Pusat Giat Mara di Taman Semarak di sini.

Dalam pada itu, Pang ketika berucap turut memuji usaha kerajaan menyediakan pusat-pusat kemahiran di negeri ini, seperti Pusat Giat Mara yang diwujudkan di setiap kawasan Parlimen.

Dengan syarat kemasukan yang minima iaitu sekadar pandai membaca, menulis dan mengira katanya, ia secara tidak langsung membuka peluang yang lebih luas kepada pelbagai lapisan rakyat untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan.

“Saya berharap masyarakat dapat merebut peluang-peluang yang ditawarkan ini. Bagaimanapun begitu, jangan pula mempersia-siakan kemahiran yang telah dimiliki. Gunakan ia demi manfaatnya yang sebenar,” kata beliau lagi.

Pada majlis itu, Pang turut berkesempatan menyaksikan persembahan tarian dan kebudayaan dari pelatih Pusat Giat Mara Zon 1, selain menyampaikan sijil kepada para pelatih yang telah berjaya menamatkan latihan mereka.

Hadir sama pada program itu ialah Pengurus Kanan Giat Mara Sabah, Asmuran Asnawi.

Friday, July 4, 2008




TAWAU 4 julai - Kerajaan dirayu agar dapat bertindak segera bagi membantu meringankan bebanan pemandu teksi di negeri ini, yang kini tersepit akibat dari kenaikan harga minyak yang berlaku, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming.

Katanya, kenaikan harga minyak dilihat begitu memberi kesan kepada kehidupan golongan itu, yang ketika ini masih menggunakan minyak petrol sebagai bahan api mereka berbanding pemandu teksi di Kuala Lumpur yang menggunakan gas asli (NGV).

Di daerah Tawau sahaja katanya, dianggarkan terdapat seramai 1,200 pemandu teksi yang memerlukan bantuan dan tindakan segera dari pihak kerajaan.

“Kita harap kerajaan dapat memberi bantuan sewajarnya seperti memberi mereka bantuan minyak petrol bersubsidi yang harganya lebih murah berbanding harga yang mereka terpaksa bayar ketika ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberi saranan kepada pihak Petronas agar dapat mempercepatkan pembinaan stesen-stesen NGV di negeri ini demi manfaat sistem pengangkutan dan pengendali sistem terbabit.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 20 ahli jawatankuasa pemandu teksi dari tiga persatuan iaitu Persatuan Teksi Tawau, Persatuan Teksi Rumpun Melayu Tawau dan Persatuan Teksi Apas Balung, di sini.

Dalam hal berkaitan, Pang kelmarin juga turut mendengar luahan dan permasalahan yang dihadapi oleh para pemandu teksi di daerah ini.

Antara yang dikemukakan ahli-ahli persatuan-persatuan berkenaan kepadanya ialah mengenai isu berkaitan dengan no.plat baru untuk teksi, isu kewuudan kereta-kereta sapu dan isu pemandu hantu.

‘Pemandu hantu’ ditafsirkan sebagai teksi-teksi berpermit yang dipandu oleh warga asing dan ramai juga di antara mereka yang didakwa mempunyai lesen memandu, tetapi tidak mempunyai kad pengenalan.

Berkaitan perkara itu, Pang memberitahu yang beliau akan mengatur satu pertemuan di antara persatuan-persatuan tersebut dengan pihak Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Puspakom.

Pertemuan itu dijangka akan diatur dalam tempoh terdekat ini bagi membincangkan segala permasalahan yang timbul.

Selain mengambil tindakan terbabit, Pang turut berjanji yang beliau sendiri juga akan mengutus surat kepada pihak berkuasa berkaitan mengenai beberapa masalah yang diadukan kepadanya, pada pertemuan berkenaan.

Di pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu, Pengerusi Persatuan Teksi Tawau Ambrose Chong turut menyampaikan satu memorandum kepada Pang, yang berkaitan dengan permasalahan yang dihadapi oleh ahli-ahlinya.


TAWAU 4 julai - Menteri Belia dan Sukan Negeri Peter Pang En Yin kelmarin menyeru syarikat atau badan-badan korporat agar turut sama memainkan peranan membantu pihak kerajaan bagi menaja, menjaga atau membangunkan prasarana-prasarana sukan di negeri ini.

Katanya, syarikat atau badan-badan berkenaan juga digalakkan untuk mengambil satu atau dua fasiliti sukan yang telah disediakan kerajaan, sebagai ‘anak angkat mereka’.

“Idea ini sebenarnya bukanlah satu perkara baru memandangkan beberapa syarikat korporat seperti Shell Malaysia telahpun mengambil Gym Kecergasan di Kota Kinabalu sebagai ‘anak angkat’mereka,” katanya.

Pang memberitahu yang beliau yakin usaha itu akan dapat membantu kerajaan menyediakan prasarana-prasarana yang memenuhi kehendak atau situasi semasa, selain membantu kerajaan melahirkan atlit-atlit sukan yang bermutu tinggi.

“Jika kita semua bekerjasama, saya yakin suatu hari nanti negeri kita akan mempunyai banyak prasarana sukan yang baik dan dalam masa yang sama, atlit-atlit kita juga akan menjadi atlit yang disegani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengadakan lawatan pertamanya sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah ke Kompleks Sukan Tawau, di sini kelmarin.

Pada sesi lawatan itu, beliau turut mendengar taklimat mengenai cadangan pembinaan Taman Cabaran Tawau dan Kelab Belia di kawasan Kompleks Sukan Tawau, yang diutarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming.

Pang berkata, secara prinsipnya beliau amat bersetuju dengan kedua-dua cadangan tersebut memandangkan kemudahan sukan terbabit dilihat berupaya memberi manfaat besar kepada golongan belia yang sukakan aktiviti-aktiviti lasak.

Antara kemudahan sukan yang dirangka untuk diwujudkan di Taman Cabaran itu kelak ialah sukan paint-ball, rock climbing, trek basikal BMX, kemudahan bermain papan luncur dan dewan futsal.

Sementara Kelab Belia yang ingin dibina pula dijangka bakal menempatkan menempatkan kemudahan sukan dalaman seperti permainan video games, catur, dart, internet, pool, selain turut berperanan sebagai Pusat Mencari Kerja dan Pusat Kaunseling.

“Saya berharap pembinaan ini dapat dilaksanakan dalam tahun ini. Bagaimanapun, kita juga memohon kepada pihak Jabatan Tanah dan Ukur agar dapat segera menentu-sahkan kawasan sebenar tanah yang digazetkan untuk Kompleks Sukan Tawau”, katanya.

Ini kerana katanya, pihaknya bercadang untuk memperuntukkan lima ekar tanah di kawasan itu bagi tujuan pelaksanaan projek terbabit.

Pada taklimat itu, ADUN Merotai Pang Yuk Ming menyatakan bahawa beliau dimaklumkan yang Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan telahpun bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM 1.8 juta bagi tujuan pembinaan prasarana berkenaan.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri Michael Emban, Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Mahmood Kalong, Pegawai Belia dan Sukan (N) Tawau Jamil Jilap dan Pengurus Kompleks Sukan Tawau Mohd. Firdaus Kassim.

Wednesday, July 2, 2008

TAWAU 2 julai - Masyarakat dinasihakan supaya tidak sesekali mudah mempercayai sebarang khabar angin yang belum dipastikan kesahihannya seperti yang sering terjadi akhir-akhir ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming.

Katanya, sebarang berita atau khabar angin yang mereka terima, haruslah diperiksa dulu ketepatannya dan bukannya terus dipercayai hingga menimbulkan suasana panik.

Khabar angin tentang kononnya pengusaha stesen minyak akan melakukan mogok selama tiga hari seperti yang heboh diperkatakan baru-baru ini ujarnya, adalah antara contoh khabar angin yang tidak sepatutnya dipercayai.

Ini kerana katanya, khabar angin itu telah menyebabkan para pengguna kenderaan berpusu-pusu ke stesen minyak dan sanggup berbaris berkilo-kilometer jauhnya semata-mata untuk mengisi minyak, sedangkan khabar angin itu akhirnya disahkan palsu.

“Saya harap masyarakat mengambil iktibar dari apa yang pernah berlaku sebelum ini. Jika menerima sebarang maklumat yang belum pasti samada betul atau tidak, rujuk kepada pihak polis atau kepada pemimpin-pemimpin yang berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Pang juga turut menasihatkan masyarakat supaya tidak sesekali bertindak menyebarkan khabar angin yang mereka terima kerana perbuatan itu ujarnya, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang jika ia menimbulkan panik.

Pang berkata demikian ketika ditemui baru-baru ini.