TAWAU 7 Sept - Dua buah rumah papan yang masing-masing didiami oleh sebuah keluarga Cina dan sebuah keluarga Melayu, musnah dalam satu insiden kebakaran yang berlaku di Kg. Muhibbah Raya Tawau di sini, kira-kira jam 1.45 tengahari kelmarin.
Api kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian atas rumah milik Chong Yuk Lat, 38, sebelum ianya menjadi besar lalu merebak ke salah sebuah rumah lagi, yang didiami oleh sepasang warga emas iaitu Amad Untong, 63, dan isterinya, Bibah Said, 56.
Turut musnah di dalam insiden berkenaan ialah sebuah kereta jenis Honda milik Chong.
Pegawai Operasi dan Penyelamat Bomba Tawau Johnny Oyong ketika ditemubual berkata, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada kira-kira jam 1.45 tengahari, lalu terus bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera bomba serta 12 anggota.
Sebaik tiba katanya, api dilihat telahpun menjilat kedua-dua rumah berkenaan dan usaha mengawal api segera dijalankan bagi mengelakkan ianya merebak pula ke rumah-rumah yang lain.
“Kita berjaya mengawal api selama kira-kira 10 minit. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku di dalam insiden ini dan pihak kita sehingga kini, masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian,” katanya.
Dalam hal berkaitan, Johnny turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dengan apa juga punca yang boleh mengakibatkan berlakunya kebakaran.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan N.58 Merotai Pang Yuk Ming kelmarin turut dilihat hadir ke lokasi insiden terbabit iaitu semasa pihak bomba masih bertungkus-lumus memadam api.
Pang memberitahu yang beliau telahpun mengarahkan kakitangannya untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut dan pihaknya akan berusaha menghulurkan bantuan yang sewajarnya bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh para mangsa.
“Saya juga di sini ingin menyarankan kepada masyarakat terutamanya yang tinggal di rumah-rumah papan agar memastikan rumah mereka dilengkapi dengan alat pemadam api dan peralatan bantuan kecemasan. Selain itu, rumah mereka juga perlu dilindungi oleh insurans,” katanya.
Menurut beliau, perkara itu penting terutamanya apabila berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.
Dalam pada itu, Pang turut meminta kedua-dua keluarga terlibat supaya bersabar, selain mengalu-alukan mana-mana pihak agar tampil menghulurkan sumbangan atau bantuan bagi meringankan bebanan mangsa-mangsa berkenaan.