TAWAU 23 OGOS - Masyarakat di kawasan Dun N.58 Merotai diseru supaya mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah mahupun premis mereka, bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-51 pada 31 Ogos 2008 depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, dengan mengibarkan bendera kebangsaan negara itu, ia secara tidak langsung tentunya akan memperkuatkan rasa kecintaan rakyat terhadap negara, sekaligus memperkukuhkan lagi semangat patriotisme mereka.
Selain daripada itu, beliau juga meminta masyarakat supaya menghargai nikmat kemerdekaan yang diperjuangkan oleh para pemimpin terdahulu dan dinikmati ketika ini, iaitu dengan bersyukur serta terus memperkukuhkan perpaduan di kalangan kaum.
Rakyat juga ujarnya haruslah memberi sokongan padu kepada kepimpinan kerajaan, yang selama ini telah terbukti bersungguh-sungguh membangunkan negara.
“Sejak kita mencapai kemerdekaan kira-kira 51 tahun lalu, negara kita telahpun berjaya mencapai pelbagai kemajuan dan kejayaan. Oleh itu, janganlah kita mempersia-siakan semua nikmat hasil kebebasan yang kita miliki itu kerana akhirnya nanti kita dan anak bangsa kita yang akan rugi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program mengagih-agihkan Jalur Gemilang kepada kenderaan di simpang Kg. Jambatan Putih Tawau, pagi kelmarin.
Dalam hal berkaitan, Pang dalam kenyataannya turut menasihatkan generasi muda supaya tidak terlibat ke dalam aktiviti-aktiviti yang kurang sihat, dalam keghairahan mereka meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.
Ujarnya, sebagai generasi muda negara, mereka hendaklah meraikan sambutan tersebut dengan penuh rasa keazaman dan keinginan untuk menjadi rakyat yang mampu meneruskan kesinambungan kepimpinan dan kejayaan negara hari ini di masa hadapan.
Hadir sama pada program itu ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Merotai Ismail Ait.
No comments:
Post a Comment