Thursday, May 15, 2008




TAWAU 15 mei - Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk melihat sebuah Taman Cabaran dibina di daerah ini, kelmarin melahirkan keyakinannya yang usaha itu bakal menepati jiwa golongan belia.

Ini kerana katanya, ramai di kalangan golongan itu dilihat begitu gemarkan aktiviti-aktiviti lasak, namun kekurangan fasiliti tersebut menjadikan keinginan golongan tersebut tidak dapat dipenuhi.

Berikutan itu ujarnya, baru-baru ini beliau berkesempatan melawat Taman Lasak yang dibina di Shah Alam, Selangor dan hasil lawatannya itu, beliau mendapati konsep taman lasak tersebut boleh dibawa ke negeri ini, khasnya ke Tawau.

“Saya kagum dengan konsep yang dibuat di Taman Lasak Shah Alam kerana walaupun ia baru beroperasi selama tiga bulan, tetapi saya difahamkan yang ia mendapat sambutan menggalakkan dari peminat sukan lasak dari seluruh negara”.

“Saya yakin dengan adanya kemudahan seumpama itu di Tawau, ia juga mampu menarik minat golongan belia sekaligus dapat membantu menjauhkan mereka dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat,” katanya.

Berikutan hal yang sama, Pang melahirkan harapannya agar semua pihak termasuk badan-badan korporat, agensi-agensi bukan kerajaan dan persatuan-persatuan terlibat, turut dapat bersama-sama berusaha merealisasikan hasrat pembinaan taman tersebut.

Antara kemudahan sukan lasak yang terdapat di Taman Lasak Shah Alam jelasnya ialah seperti kawasan bermain papan luncur, rock climbing, futsal, motorcross, sukan paintball dan beberapa kemudahan lain.

Monday, May 12, 2008



KUALA LUMPUR 12 mei - Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Haji Salleh kelmarin menghangatkan Persidangan Dewan Rakyat apabila membuat beberapa tuntutan tegas, berkaitan hak-hak rakyat di Negeri Sabah.

Antara tuntutan yang dikemukakan ialah beliau mahu Barisan Kabinet Persekutuan dirombak semula bagi memberi peluang kepada pemimpin dari negeri itu dipilih dan diberi jawatan yang lebih baik di dalam barisan kabinet yang baru.

Ini kerana katanya, kemenangan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Sabah pada pilihan raya lepas adalah faktor utama yang membolehkan parti BN menubuhkan Kerajaan Persekutuan hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, adalah agak menyedihkan apabila jumlah Ahli Parlimen yang dipilih menganggotai barisan Kabinet Persekutuan adalah tidaklah setimpal, malah mereka hanya diberi portfolio-portfolio yang kurang penting.

“Ada negeri lain, dapat tujuh menteri penting. Ada negeri kalah, dapat tiga menteri penting. Jadi kita minta kepada YAB Perdana Menteri, buat reshuffle balik. Bagi Sabah menteri yang penting,” katanya.

Beliau berharap rombakan itu dapat dilakukan sebelum akhir tahun ini.

Tuntutan kedua yang dibangkitkannya pula melibatkan jumlah royalti minyak yang diberi kepada negeri itu yang tegasnya, harus dinaikkan dari 5 peratus setahun kepada 20 peratus, bersamaan RM 2 billion setahun.

Apabila jumlah itu dinaikkan ujarnya, pembangunan yang lebih pesat tentunya akan dapat dilakukan oleh Kerajaan Negeri, selain pembangunan lebih rancak dapat dijana dan masalah rakyat dapat diatasi.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang DiPertuan Agong di Dewan Rakyat, kelmarin.

Perkara seterusnya pula, Ghapur juga menuntut dan meminta agar rakyat Sabah tidak dianak-tirikan atau dilayan sebagai rakyat kelas kedua di negara ini.

Ini kerana ujarnya, beliau kesal melihat masih banyak masalah rakyat di negeri itu yang tidak diselesaikan dan apabila ia disuarakan oleh Ahli Parlimen, ia seakan-akan dilayan seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Sebagai contoh katanya, masalah kemudahan asas masih lagi menjadi masalah utama, seperti masalah bekalan elektrik yang sering terputus walaupun di bandar-bandar besar.

Ketiadaan bekalan air bersih pula jelasnya masih terus dihadapi oleh masyarakat di luar bandar dan ramai di antara mereka yang terpaksa bergantung dengan air perigi.

Tidak setakat itu kata beliau, meskipun Menteri Pendidikan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein mengumumkan yang Sabah mendapat peruntukan pendidikan sebanyak RM 3.43 billion, namun isu berkaitan kemudahan pendidikan masih terus berlaku.

Sebagai contoh kata beliau, ketika ini terdapat pelajar di kawasannya yang terpaksa belajar di atas lantai akibat ketiadaan kerusi dan meja.

“Jadi, mana itu peruntukan? Kita mahukan keadilan,” katanya.

Sementara hal lain yang turut disuarakan beliau ialah berkaitan dengan isu pendatang tanpa izin di Sabah, khasnya yang melibatkan pemberian dokumen IMM 13 kepada rakyat Filipina.

Ghapur mempersoalkan tindakan pihak kementerian mengeluarkan dokumen IMM13 kepada pendatang Filipina, walaupun ketika ini tidak berlaku lagi peperangan di negara jiran itu.

Tindakan tersebut katanya menyebabkan negeri Sabah dibanjiri pendatang tanpa izin dan beliau mahu menteri yang terlibat bertanggungjawab ke atas perkara tersebut.

Semasa menyampaikan ucapannya, beliau berharap keinginan rakyat Sabah tidak diabaikan kerana Tsunami Politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia tidak mustahil berlaku di Sabah pada pilihan raya akan datang, jika perkara itu berlaku.
TAWAU 12 mei - Masyarakat dinasihatkan supaya tidak sesekali menyalah-gunakan kecanggihan sistem teknologi maklumat masa kini, apatah lagi apabila perkara yang dilakukan itu boleh mengganggu-gugat perpaduan rakyat dan kesejahteraan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming berkata, kemudahan canggih terbabit seharusnya dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan, seperti untuk menimba ilmu, mencari peluang memajukan diri atau perkara-perkara yang boleh mendatangkan faedah.

Berhubung perkara yang sama, masyarakat juga katanya haruslah bijak menapis segala maklumat yang diperolehi hasil dari kemudahan tersebut, bagi memastikan mereka tidak dipesongkan oleh fitnah atau dakyah-dakyah yang tidak berasas.

“Pelbagai fitnah atau perkara-perkara yang tidak sihat hari ini boleh dilihat disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melalui internet.

Kita harap masyarakat bijak menilai maklumat manakah yang harus mereka ambil dan ketahui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Komuniti Bestari Kg. Kijang Merotai, di sini.

Dalam pada itu, beliau juga berharap masyarakat dapat menggunakan kecanggihan sistem teknologi maklumat untuk mengukuhkan jati diri, memandangkan ia merupakan elemen yang menyumbang kepada kesejahteraan politik, sosial dan ekonomi sesebuah negara.

Menyentuh program tersebut pula, Pang memuji usaha Pejabat Penerangan Tawau kerana mewujudkan program Komuniti Bestari tersebut, yang menurut beliau mampu memberi memberi faedah kepada masyarakat di kawasan-kawasan yang terpilih.

Melalui program itu ujarnya, masyarakat di kampung terbabit bukan sahaja berpeluang mendapatkan maklumat-maklumat yang tepat, sekaligus dapat dibentuk menjadi sebuah komuniti yang berilmu dan berwawasan.

Dalam hal berlainan, Pang turut meminta masyarakat di kawasannya agar dapat memaklumkan kepada pihaknya ataupun agensi-agensi lain yang berkaitan, sekiranya terdapat jiran-jiran mereka yang kurang bernasib baik.

Perkara itu ujarnya penting agar bantuan yang sewajarnya dapat segera dihulurkan, khasnya kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Di majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa orang warga emas dan kurang bernasib baik.

Hadir sama pada program terbabit ialah Wakil Rakyat Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samad, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Tawau Daud Md. Noor dan para pemimpin akar umbi di sekitar Dun berkenaan.

Tuesday, May 6, 2008

TAWAU 6 mei - Jabatan Air digesa supaya bertindak tegas membanteras kegiatan mencuri air di kawasan-kawasan setinggan berikutan perbuatan itu disifatkan sebagai sesuatu yang tidak adil untuk para pengguna yang membayar bil air mereka pada setiap tiga bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri N.58 Merotai Pang Yuk Ming berkata, hukuman yang lebih berat haruslah dikenakan ke atas mereka yang melakukan perbuatan tersebut agar ia menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang ingin melakukan perkara yang sama.

Menurut Pang, perbuatan mencuri air bukan sahaja tidak adil untuk pengguna air yang berdaftar, tetapi dalam masa yang sama boleh menjadi penyebab berlakunya tekanan air rendah yang akhirnya akan menyusahkan semua pengguna kemudahan tersebut.

Justeru yang demikian, beliau menggesa agar penguatkuasaan Jabatan Air dapat lebih dipergiatkan bagi memastikan kegiatan mencuri air seperti melalui penyambungan paip secara haram, dapat dibanteras dan ditangani.

Namun yang demikian, beliau juga turut menyarankan agar polisi Jabatan Air yang menetapkan sesuatu bil tertunggak itu perlu diperjelaskan terlebih dahulu sebelum meter baru dipasang, dapat dikaji semula.

Ini kerana jelasnya, polisi itu boleh mengakibatkan penghuni baru seperti di rumah sewa yang berhadapan dengan masalah bekalan air, sukar untuk mendapatkan kemudahan asas itu secara sah kerana mereka dikehendaki menjelaskan bil-bil lama yang tertunggak.

Perkara itu disifatkannya sebagai sesuatu yang tidak adil serta boleh menjadi satu lagi penyebab berlakunya aktiviti penyambungan paip haram.

Dalam hal berkaitan, beliau juga meminta Jabatan Air agar segera mengambil tindakan mengatasi kes paip-paip bocor, bagi mengelakkan berlakunya pembaziran serta tekanan air rendah akibat dari kebocoran berkenaan.

Pang yang merupakan muka baru di Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata demikian dalam pembentangan usulnya pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Kota Kinabalu, kelmarin.

Teks ucapan Pang telah dihantar melalui email ke New Sabah Times Tawau.

Dalam pada itu, Pang dalam pembentangannya juga turut menyatakan yang beliau kini berhasrat untuk menjadikan kawasan Dun Merotai sebagai sebuah kawasan pelancongan utama di negeri ini, selain mewujudkan Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar di kawasan itu.

Mengenai pelancongan katanya, hasratnya itu timbul berikutan kawasan itu mempunyai pelbagai potensi pelancongan yang boleh dieksploitasi bagi menarik kehadiran pelancong, sekaligus mampu membantu membangunkan ekonomi masyarakat setempat.

Antara potensi tersebut katanya ialah seperti kepelbagaian kaum dan budaya di kalangan masyarakat Dun Merotai, serta kewujudan produk-produk pelancongan semulajadi seperti Pokok Tropika Tertinggi Di Dunia, Taman Bukit Tawau dan Kolam Air Panas.

Oleh yang demikian, beliau percaya program ‘Homestay’ dan ‘Satu Kampung Satu Produk’, merupakan antara program yang boleh diwujudkan di Dun terbabit, bagi menjana ekonomi penduduk di kawasannya itu.

Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar yang dicadangkannya pula ujarnya, diyakini bukan sahaja boleh menjadi satu lagi tarikan pelancong, tetapi juga akan dapat menyelamatkan spesis gajah terkecil di dunia iaitu gajah pygmy, yang hanya terdapat di rantau Borneo.

Berikutan cadangan yang diutarakannya, Pang semasa sidang dewan itu berharap agar semua pihak khasnya kementerian yang berkaitan dapat melakukan kajian sekaligus bertindak segera merealisasikan hasrat tersebut.

Antara perkara lain yang turut disentuh beliau ialah berhubung cadang mewujudkan Taman Cabaran di Kompleks Sukan Tawau, masalah belia dan isu kesesakan lalu-lintas dari bulatan lapangan terbang lama dan bulatan Jalan Kuhara menuju ke Jambatan Putih.

Beliau meminta agar semua perkara yang dibangkitkannya, diberi perhatian sekaligus tindakan drastik yang sewajarnya